Thursday, July 30, 2015

Kenalkah dikau akan daku?!


Kenalkah dikau akan daku?!

Hei ! Manusia!
Kenalkah dikau akan daku?!
Akulah penghalang amalan kau untuk diterima!
Akulah pemandu kau ke lembah durjana!
Akulah punca seksaan kau di neraka!
Sedarkah dikau aku daku?!

Hei ! Manusia!
Kenalkah dikau akan daku?!
Aku senantiasa wujud pada jasadmu
Aku bersembunyi disebalik pelindungmu 
Aku bermusuh dengan malumu
Aku bersaudara dengan dosamu
Tahukah kau siapa daku?!

Hei ! Manusia!
Kenalkah dikau akan daku?!
Aku suka bila kau tayangkan daku 
Aku redha bila kau jual diriku
Aku bangga bila kau bergantung harap padaku
Aku duka bila kau simpan daku
Tahukah kau siapa daku?!

Hei ! Manusia!
Kenalkah dikau akan daku?!
Aku akan mereput bersama jasadmu
Aku akan dimandi oleh warismu
Aku akan diseksa dalam kuburmu
Aku akan menjadi saksi terhadapmu
Akulah auratmu

Akulah auratmu

-Rafeed Kabeer-

Tuesday, July 7, 2015

Belum menjadi Permaisuri


Belum menjadi Permaisuri

Wahai Sang Puteri,
Hamba ini...
Bagai pungguk rindukan bulan,
Mencari dahan di puncak awan,
Kala menunggu Sang rembulan,
Memantulkan cahaya di tabir kegelapan.
Walaakin...
Rindu pungguk hanya luaran,
Kekal bersama jasad badan,
Rindu rembulan bukan pada keduniaan,
Hanya untuk Illahi yang berkekalan.

Wahai Sang Puteri,
Hamba  ini...
Umpama Pemuitis yang sunyi,
Menyusun kata menjadi puisi,
Menyimpul rangkap membentuk hati,
Agar indah untuk Sang Puteri.
Walaakin...
Puisi digarap dalam impian,
Hanya kekal menjadi angan-angan,
Kerana Sang Puteri sudah berteman,
Menjadikan Al-Quran sumber pedoman.

Wahai Sang Puteri,
Hamba ini...
Seperti Pengembara yang sedang mencari,
Meninggalkan hati dan Pencinta diri,
Demi ilmu dan sekelumit rezeki,
Agar hidup diberkati Illahi.
Walaakin,
Kenapa Sang Puteri bermuram durja?
Adakah kerana rindu hamba bertukar hampa?
Atau mungkin puisi hamba tidak berharga?
Atau hanya cemburu Sang Puteri menguasai minda?

Wahai Sang Puteri,
Bukankah kita telah berjanji?
Cinta dan rindu hanya kerana Illahi,
Kasih dan sayang bila sahih suami dan isteri,
Cemburu dan manja hanya untuk Raja dan Permaisuri,
Summa...
Bersabarlah wahai Sang Puteri,
Lii anna...
Sang Puteri belum menjadi Permaisuri.

-Rafeed Kabeer-

Puisi kali ini berkisarkan pengalaman sahabat yang sedang bertunang. bermula dengan perkenalan yang ringkas seterusnya membawa kepada pertemuan empat mata di antara pihak lelaki dan perempuan. Berbekalkan keikhlasan dan perjanjian di antara dua keluarga, maka terikatlah pertunangan di antara dua sahabat. Tempoh pertunangan yang berlalu tidak sepi dengan asam garam cemburu.

Friday, July 3, 2015

Temanku Sang Kembara


Temanku Sang Kembara

Teman-ku,
Tika pengembaraan ini bermula,
Hadirmu ditemani kegusaran,
Memikul beban sepanjang masa,
Mengira harta yang dikorbankan,
Kerna memikirkan hati yang dipisahkan benua,
Hingga...
Dudukmu bagai di lapisi bara,
Berdiri bagai di ikat pohon cemara,
Berjalan dan berlari tiada beza,
Beradu persis ayam laga,
Hatimu merah bagai saga,
Sabarlah...
Kita merancang,
Yang Esa juga merancang,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang,
Teman-ku,
Tika kapal berlayar pantas,
Dirimu kaku,
Hatimu panas,
Fikiranmu buntu,
Percaturanmu dicantas,
Maaf...
Kerna ku menjadi saksi,
Melihat dikau beraksi,
Hanya tulus menabur janji,
Tapi diriku bagai si mati,
Sabarlah...
Kita merancang,
Yang Esa juga merancang,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang,
Teman-ku,
Tika kapal mampir berlabuh,
Dikau persis nakhoda kehidupan,
Mengerah keringat dan tubuh,
Mengenal erti kebahagiaan,
Menghargai makna pengembaraan,
Mengajar-ku tentang pengorbanan,
Gembiralah...
Hadirmu ditemani kegusaran,
Kembaramu bersama pengalaman,
Kembalimu membawa seribu harapan,
Diri-ku cemburu dalam kerinduan,
Yakinlah...
Kita merancang,
Yang Esa juga merancang,
Sesungguhnya Dialah sebaik-baik perancang,
Perancangan-Nya belum pernah menghampakan.
-Rafeed Kabeer-

Puisi kali ini merupakan kisah adaptasi daripada kembara penulis bersama sahabat-sahabat lain ke luar negara untuk menuntut ilmu. Berada di perantauan bukan sahaja menggamit kerinduan akan tanah air, bahkan, ia juga dipenuhi dengan liku-liku cabaran. Setiap satu yang merantau akan berdepan dengan liku cabaran yang tersendiri.