Belum menjadi Permaisuri
Wahai Sang Puteri,
Hamba ini...
Bagai pungguk rindukan bulan,
Mencari dahan di puncak awan,
Kala menunggu Sang rembulan,
Memantulkan cahaya di tabir kegelapan.
Walaakin...
Rindu pungguk hanya luaran,
Kekal bersama jasad badan,
Rindu rembulan bukan pada keduniaan,
Hanya untuk Illahi yang berkekalan.
Wahai Sang Puteri,
Hamba ini...
Umpama Pemuitis yang sunyi,
Menyusun kata menjadi puisi,
Menyimpul rangkap membentuk hati,
Agar indah untuk Sang Puteri.
Walaakin...
Puisi digarap dalam impian,
Hanya kekal menjadi angan-angan,
Kerana Sang Puteri sudah berteman,
Menjadikan Al-Quran sumber pedoman.
Wahai Sang Puteri,
Hamba ini...
Seperti Pengembara yang sedang mencari,
Meninggalkan hati dan Pencinta diri,
Demi ilmu dan sekelumit rezeki,
Agar hidup diberkati Illahi.
Walaakin,
Kenapa Sang Puteri bermuram durja?
Adakah kerana rindu hamba bertukar hampa?
Atau mungkin puisi hamba tidak berharga?
Atau hanya cemburu Sang Puteri menguasai minda?
Wahai Sang Puteri,
Bukankah kita telah berjanji?
Cinta dan rindu hanya kerana Illahi,
Kasih dan sayang bila sahih suami dan isteri,
Cemburu dan manja hanya untuk Raja dan Permaisuri,
Summa...
Bersabarlah wahai Sang Puteri,
Lii anna...
Sang Puteri belum menjadi Permaisuri.
-Rafeed Kabeer-
Puisi kali ini berkisarkan pengalaman sahabat yang sedang bertunang. bermula dengan perkenalan yang ringkas seterusnya membawa kepada pertemuan empat mata di antara pihak lelaki dan perempuan. Berbekalkan keikhlasan dan perjanjian di antara dua keluarga, maka terikatlah pertunangan di antara dua sahabat. Tempoh pertunangan yang berlalu tidak sepi dengan asam garam cemburu.