Wednesday, July 1, 2015

Ibu, Ibu....


Ibu, Ibu...
 
Ibu, Ibu,
Tatkala suara menggetar uri
Syahdu amat sifatnya
Sayang amat hilainya
Rindu amat bunyinya
Siapakah dia wahai Ibu?
Janinku, itulah ayahmu.

Ibu, Ibu,
Tatkala kalam Rabbi dibisikkan
Merdu sungguh suaranya
Tajam sungguh seruannya
Erat sungguh dakapannya
Siapakah dia wahai Ibu?
Buah hatiku, itulah ayahmu

Ibu, Ibu,
Tatkala ufuk timur bercahaya,
Berderap sayu hentakan kaki
Menahan ketar embun pagi
Jauh ke laut mencari rezeki
Siapakah dia wahai Ibu?
Si comelku, itulah ayahmu

Ibu, Ibu,
Bertahun sudah adik menunggu,
Kala merangkak hingga menapak
Kala muqaddam hingga nahu
Kala padang hingga pekan
Bila ayah kan pulang?
Anak-ku, sudah lama ayah pulang
Kini dia yang menunggu
Wahai ayah, ampunkanlah dosa-ku

-RafeedKabeer-

Puisi ini merupakan adaptasi kisah daripada seorang teman yang rapat. Dengan bantuan penulis, beliau juga telah dipertemukan dengan isterinya dan kini sudah mempunyai dua orang anak yang comel-comel belaka. Kehidupan rumah tangga beliau, bagaimanapun penuh dengan liku kehidupan dan cabaran yang datang menguji beliau sekeluarga.

Selain daripada urusan kerja yang memerlukan beliau berkejar ke merata tempat untuk menguruskan hal kerjaya, beliau terpaksa meninggalkan anak dan isteri dalam jangka masa yang agak lama. Tidak cukup dengan itu, dugaan daripada kedua belah ahli keluarga juga menguji kesabarannya menjalani kehidupan. 

Kerinduan dan sayangnya pada anak dan isteri melampaui duka dan lara yang disebabkan orang yang ketiga. Tangis dan pilu menjadi rempah kehidupan. Apakan daya, tempat mengadu pun berkurang. Sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Melihat. Semoga Allah memperkuatkan kesabarannya, mempermudahkan urusannya, mengurnikan hidayah pada mereka yang menyebabkan dia teraniaya. Sehinggakan penulis juga merasa serba salah. Hendak menolong takut menjadi orang keempat. Tidak ditolong, hati ini bagaikan dihiris sembilu.

Beberapa bulan yang lalu, penulis dikejutkan sekali lagi dengan pemberhentian secara mengejut oleh majikan beliau. Ditambah pula dengan kegawatan ekonomi dinihari, besar sungguh cabarannya. Sesungguhnya Allah sedang menyiapkan beliau untuk hari pembalasan nanti. Puisi ini penulis nukilkan untuk sahabat, khususnya untuk isteri beliau agar sedar akan kehadirannya sebelum salah satu pergi menyahut seruan Ilahi.

2 comments:

  1. syahdu je baca puisi ni, ade bakat juga ye tuan blog ni, keep sharing :)

    Jom Terjah: Bukti cukai GST menyusahkan rakyat berbanding SST

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih, InsyaAllah akan terus mencuba

      Delete